Kenapa Spread Melebar Masa News? Apa Sebenarnya Berlaku di Belakang Broker

Oleh · Dikemas kini

Setiap kali keluar berita besar seperti NFP, CPI atau keputusan kadar faedah FOMC, ramai trader mengadu benda yang sama: spread tiba-tiba melebar, order masuk pada harga lain, stop loss kena walaupun harga di chart tak sampai, atau platform tiba-tiba “off quotes”.

Soalannya: ini salah pasaran, atau broker yang main?

Jawapan jujurnya: boleh jadi kedua-duanya. Dalam artikel ini saya akan asingkan mana yang memang berlaku di pasaran, dan mana yang datang dari tetapan broker sendiri.

Ringkasnya: ketika news, order dalam pasaran berkurang, jadi harga dan spread cenderung gap. Itu realiti pasaran. Tetapi broker juga ada tetapan dan plugin yang aktif waktu news, seperti delay execution, potong leverage dan “off quotes” bila harga melompat. Sebahagiannya pengurusan risiko biasa, sebahagiannya memang bad plugin.

Apa yang berlaku di pasaran masa news

Sejurus sebelum dan selepas berita besar keluar, ramai peserta pasaran menarik diri atau menunggu. Akibatnya, jumlah order dalam pasaran berkurangan.

Bila order sedikit, harga tidak lagi bergerak secara licin dari satu paras ke paras seterusnya. Harga cenderung melompat (gap). Dan bila harga gap, spread juga ikut gap.

Ini bukan helah broker. Ini memang sifat pasaran ketika kecairan (liquidity) nipis.

Spread masa news: dari LP atau dari broker?

Broker mendapat harga daripada liquidity provider (LP). Spread ketika high impact news selalunya tinggi, tetapi kadang-kadang rendah, bergantung pada LP yang digunakan.

Sebab itu kebanyakan broker kini menggunakan aggregator, iaitu sistem yang mengumpul harga daripada beberapa LP sekali gus, supaya broker boleh dapat harga dan quote terbaik ketika news.

Dalam keadaan biasa, broker akan biarkan spread floating mengikut pasaran, berserta markup normal yang sama seperti ketika tiada news.

Tetapi berapa banyak spread itu datang dari LP dan berapa banyak ditambah oleh broker? Bergantung pada broker. Setiap broker ada tetapan pengurusan risiko yang berbeza.

Tetapan dan plugin broker yang aktif waktu news

Inilah bahagian yang trader jarang diberitahu.

Selain spread, broker ada pelbagai tetapan risiko yang boleh aktif bila pasaran bergerak laju:

  • Delay execution: order anda dilaksanakan dengan kelewatan, jadi harga sudah berubah bila order masuk
  • Leverage cut: leverage akaun dikurangkan sekitar waktu news, jadi margin yang diperlukan meningkat
  • Quote delay: harga yang sampai ke platform anda dilambatkan bila sistem mengesan pergerakan besar dalam masa singkat

Contoh logik yang biasa digunakan:

Jika harga melompat 300 point dalam beberapa saat, sistem akan off quotes sementara.

Ini salah satu sebab anda nampak gap pada chart. Gap itu boleh datang dari LP, dan boleh juga dibuat oleh broker.

Ada tetapan yang memang wajar untuk melindungi sistem daripada harga yang tidak normal. Tetapi bad plugins juga memang wujud. Ramai trader dah rasa sendiri.

Bagaimana pula dengan akaun group “high risk”?

Dalam artikel Macam Mana Broker Forex Buat Duit, saya terangkan bagaimana trader yang konsisten untung dipindahkan ke group “high risk”. Waktu news, layanan pada group ini boleh jadi sama seperti waktu biasa, atau lebih ketat. Ia bergantung pada broker.

Broker B-book dan news: mereka juga berjudi

Bagi broker yang menyimpan risiko klien sendiri (model B-book), news ialah waktu yang penting. Mereka mengharapkan trader kalah ketika pasaran bergerak liar.

Tetapi sebenarnya, broker B-book juga sedang berjudi. Pada masa yang sama mereka mengharapkan klien kalah, mereka juga terdedah kepada risiko apabila trader menang besar. Sebab itulah tetapan seperti delay execution, leverage cut dan off quotes wujud: untuk mengurangkan kemungkinan broker yang kena.

Macam mana nak tahu spread itu “pasaran” atau “broker main”?

Terus terang, susah. Anda tidak boleh nampak apa yang berlaku di server broker.

Tetapi ada satu cara mudah: bandingkan dengan broker lain pada waktu yang sama. Buka akaun demo atau akaun kecil di broker lain, dan perhatikan spread dan pergerakan harga ketika news yang sama.

Jika spread atau harga di broker anda jauh berbeza sendiri berbanding broker lain, anda sendiri boleh faham apa yang sedang berlaku.

Nasihat untuk trader yang suka trade news

Nak trade news, berpada-padalah, dan jangan jadikan news sebagai tempat berjudi.

Beberapa perkara praktikal untuk diingat:

  • Tahu bila news besar keluar. Semak kalendar ekonomi sebelum mula trade.
  • Spread yang melebar boleh menyebabkan stop loss kena walaupun harga di chart nampak belum sampai.
  • Bila harga gap, stop loss anda mungkin dilaksanakan pada harga yang lebih buruk daripada yang anda tetapkan.
  • Jika anda tetap mahu trade, kecilkan lot. Kira semula risiko dengan Kalkulator Lot Size.

Soalan lazim

Kenapa stop loss saya kena padahal harga di chart tak sampai? Chart biasanya memaparkan harga bid. Posisi sell ditutup pada harga ask. Bila spread melebar ketika news, harga ask boleh sampai ke stop loss anda walaupun garisan bid pada chart tidak. Selain itu, tetapan broker dan gap harga juga boleh menyebabkan perkara ini.

Adakah semua gap ketika news dibuat oleh broker? Tidak. Gap memang berlaku di pasaran apabila order berkurangan. Tetapi broker juga boleh mencipta atau memperbesarkan gap melalui tetapan seperti off quotes dan quote delay.

Slippage ketika news: broker bagi slippage positif tak? Jika slippage positif, iaitu order anda masuk pada harga yang lebih baik, broker biasanya bayar sahaja. Jika slippage negatif, anda kadang-kadang boleh minta refund daripada broker. Ada masa dapat, ada masa tidak. Sebab itu penting untuk simpan rekod: screenshot harga, masa order, dan trade history, supaya anda ada bukti bila membuat tuntutan.

Broker yang guna aggregator mesti selamat? Aggregator membantu broker dapat harga yang lebih baik daripada beberapa LP. Tetapi ia tidak menghalang broker daripada menambah markup atau mengaktifkan tetapan risiko lain pada akaun anda.

Kesimpulan

Spread melebar ketika news kerana order dalam pasaran berkurangan dan harga cenderung gap. Itu realiti. Tetapi broker juga ada tetapan dan plugin yang aktif waktu news, dan sebahagiannya bukan untuk melindungi anda.

Cara terbaik untuk melindungi diri: faham apa yang berlaku, bandingkan dengan broker lain, dan jangan jadikan news sebagai meja judi.

Baca juga dalam siri Dari Dalam Broker:

Artikel ini untuk tujuan pendidikan sahaja dan bukan nasihat pelaburan. Dagangan forex dan CFD berisiko tinggi.